Erra bertunang...
Al-Quran ganti wang hantaran Erra
Oleh Khadijah IbrahimPETALING JAYA 7 Sept. – Hanya senaskhah al-Quran yang dipinta oleh pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira, 33, sebagai ganti wang hantaran daripada tunangnya.
Bekas ratu cantik itu hari ini sah menjadi tunangan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 32, dalam satu majlis sederhana di kediamannya di Damansara Kim dekat sini.
‘‘Kalau hendak hantaran wang, saya sudah lalui dulu. Bagi saya, pemberian al-Quran lebih afdal kerana saya lebih mementingkan keberkatan daripada angka (wang). Lagipun banyak ilmu yang akan kami peroleh daripadanya,” katanya selepas majlis pertunangan tersebut.
Pada majlis itu, Erra menerima dua bentuk cincin emas putih bertatah berlian sebagai tanda merisik dan bertunang, yang disarungkan oleh ibu Emran, Toh Puan Salmah Abdullah, 61.
Erra yang manis dengan baju kurung moden putih gading ciptaan Jovian Mandagie turut menerima lima dulang hantaran yang dibalas tujuh.
Seperti yang diberitahu pada sidang akhbar semalam, tempoh pertunangan dijadualkan selama tiga bulan.
Bagaimanapun kedua-dua pihak tidak menolak kemungkinan majlis pernikahan akan dipercepatkan.
“Paling cepat majlis pernikahan akan berlangsung lepas raya atau selewat-lewatnya hujung tahun ini. Saya tidak pernah memberitahu yang kami akan bernikah pada Oktober ini. Lagipun banyak proses yang perlu dilalui. Bila tiba masanya, kami akan umum tarikh sebenar,” jelasnya.
Sementara itu, Engku Emran yang muncul selepas selesai majlis pertunangan berkata, beliau juga terkejut dengan permintaan Erra yang hanya mahukan senaskhah al-Quran sebagai ganti wang hantaran.
Baginya, permintaan Erra itu melambangkan kemurnian hati wanita tersebut.
“Permintaan Erra untuk menerima al-Quran sebagai hantaran pada saya amat simbolik dan secara tidak langsung melambangkan keikhlasan hatinya,” kata Engku Emran.
Anak kedua daripada tiga beradik itu juga menyangkal tanggapan bahawa majlis pertunangan itu diatur bagi menutup kontroversi.
‘‘Tanpa kontroversi pun kami tetap akan bertunang kerana hubungan yang dijalin sejak Mei lalu mempunyai matlamatnya,’’ tegas beliau sambil menambah, perkara baik elok dipercepatkan.
Apatah lagi katanya, hubungan mereka mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.
[Image & Story via Utusan Malaysia]
0 comments:
Post a Comment